Sukarelawan SAFM bersama kucing yang turut terkesan dengan bencana banjir di Kuala Berang baru-baru ini. Foto SAFM
Sukarelawan SAFM bersama kucing yang turut terkesan dengan bencana banjir di Kuala Berang baru-baru ini. Foto SAFM
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM) menjalankan misi menyelamat dan menyampaikan bantuan makanan haiwan di 11 kampung di sekitar Kuala Berang, Terengganu pada 5 dan 6 Mac lalu.

Presiden SAFM R Kalaivanan berkata, misi itu adalah yang keempat selepas pihaknya menyalurkan bantuan di Taman Sri Muda Shah Alam dan Bukit Nanding, Hulu Langat, Selangor serta Segamat, Johor.

Menurut Kalaivanan, matlamatnya adalah meringankan beban pemilik haiwan khususnya di Kuala Berang yang dilanda banjir teruk, baru-baru ini.

"Sebanyak 1,740 kilogram (kg) makanan kucing dan anjing diagihkan kepada pemilik haiwan yang terjejas di 11 kampung terpilih iaitu Kampung Bukit Gemuruh , Kampung Kuala Menjing, Kampung Durian Badar, Kampung Padang Setar, Kampung Sekayu, Kampung Pelandan, Kampung Cheting, Kampung Menerong, Kampung Betong, Kampung Kemat, dan juga Kampung Kuala Pueh.

"Agihan makanan turut diberi kepada haiwan terbiar di sekitar kawasan banjir.

"Seramai lapan ahli SAFM dan sukarelawan digerakkan, manakala sebanyak tiga kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk misi itu," katanya kepada Harian Metro.

Kalaivanan berkata, secara purata seramai 50 hingga 100 pemilik haiwan di setiap kampung terpilih menerima manfaat bantuan berkenaan.

Menurutnya, makanan haiwan disalurkan kepada ketua dan penduduk kampung untuk diagihkan kepada semua pemilik haiwan.

"Penduduk kampung sangat berterima kasih dan menghargainya kerana bekalan makanan kucing mereka terputus.

"SAFM mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang turut menjayakan misi ini termasuk Ahli Exco Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (Mavma) Dr Farina Mustaffa Kamal yang menyumbang sebahagian makanan haiwan kepada kami.

"Walaupun misi ini merupakan rancangan saat akhir, beliau memastikan bekalan makanan haiwan yang kami bawa mencukupi untuk diedarkan kepada mangsa banjir.

"Beliau turut menyumbang kira-kira 400 kg makanan kucing dan memberi sokongan moral kepada pasukan kami untuk menggerakkan misi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 8:21 PM