Hamzah Osman


TUN Dr Mahathir Mohamad mengakui Kerajaan Kedah ketika ini ‘goyang’ berikutan perpecahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada dua kumpulan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kesan perpecahan pemimpin Bersatu di peringkat Pusat turut menyebabkan ahli akar umbi parti itu keliru.

“Ketika ini, berlaku perpecahan Bersatu kepada dua pihak apabila satu pihak sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyertai apa yang dia buat.

“Manakala satu pihak lagi tak sokong, malah menganggap pemimpin itu mengkhianati perjuangan parti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Politik Semasa di Langkawi, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Juhari Bulat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Mohd Firdaus Ahmad.

DR Mahathir. FOTO arkib NSTP
DR Mahathir. FOTO arkib NSTP

Dr Mahathir berkata, kerajaan negeri Kedah masih ‘bernafas’ kerana mendapat sokongan PAS yang menguasai 15 kerusi di DUN Kedah.

“Ini pelik sebab PAS pihak yang boleh tubuh kerajaan negeri, tetapi setakat ini (Adun PAS) masih beri sokongan kepada pemimpin negeri yang terdiri daripada Bersatu.

“Saya tak tahu berapa lama... (kerana) PAS di Kedah ini pun akan terima tekanan daripada Ibu Pejabat PAS,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 10:10 AM