MUKHRIZ (kanan) pada sidang media selepas  mesyuarat bersama EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. FOTO Amran Hamid
MUKHRIZ (kanan) pada sidang media selepas mesyuarat bersama EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. FOTO Amran Hamid
M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman

MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui berasa dikhianati 'kawan-kawan' di peringkat Pusat dan negeri sehingga menyebabkan kedudukannya kini tergugat.

Beliau berkata, semua pihak sepatutnya ketika ini menumpukan usaha menangani pandemik Covid-19 dan bukannya sibuk berpolitik termasuk ketika Ramadan.

"Biasalah perasaan bila dikhianati kawan-kawan. Sebelum ini berlaku di Pusat dan sekarang di negeri. Nampaknya pengkhianatan berlaku macam-macam cara sejak 2020 ini.

"Ini bukan perkara baik untuk negara sebab kita sibuk (menangani penularan) Covid-19. Apa sebabnya tindakan seperti ini perlu dilakukan ketika kita memberi tumpuan kepada rakyat, di sini dapat lihat siapa jaga rakyat?

"Ketika saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas, pembangkang sibuk membuat sidang media bagi menjatuhkan saya," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dipetik berkata, 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, Bersatu (4), Umno (2) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, PKR (5), AMANAH (4), Bersatu-Tan Sri Muhyiddin Yassin (4), Bersatu-Tun Dr Mahathir Mohamad (2), Umno (2) dan Bebas (2).

Mengulas mengenai laporan mengatakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan memecat beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz berkata, ia tidak boleh dilakukan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Mesyuarat MPT hanya boleh dipanggil oleh Pengerusi dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengiktiraf Tun Mahathir adalah Pengerusi Bersatu berdasarkan surat menyurat antara mereka.

"Jadi apabila Tun Mahathir tak panggil mesyuarat, macam mana orang lain boleh panggil. Ini yang terjadi apabila Setiausaha Agung anggap Perlembagaan parti tidak penting bagi dia," katanya.

Isnin lalu, pimpinan Bersatu Pusat dikatakan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pemecatan Dr Mahathir dan Mukhriz, namun ia dibatalkan selepas maklumat berkaitan pertemuan itu didedahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 5:31 PM