MUKHRIZ mengadakan sidang media selepas mesyuarat bersama EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. FOTO Amran Hamid
MUKHRIZ mengadakan sidang media selepas mesyuarat bersama EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. FOTO Amran Hamid
M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman


MESYUARAT Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah akan mencadangkan kepada Sultan Kedah agar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menentukan jika Menteri Besar masih mempunyai sokongan atau tidak.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan, pihak pembangkang tidak boleh mengumumkan pertukaran kerajaan negeri dengan hanya membuat sidang media, dan tindakan menukar Menteri Besar perlu melalui proses tertentu.

Beliau mengaku masih memegang jawatan Menteri Besar dan kerajaan negeri pimpinannya masih beroperasi seperti biasa.

Katanya, pembangkang sepatutnya mengusulkan undi tidak percaya ke atas beliau melalui DUN Kedah dan bukannya dengan mengumpul Akuan Bersumpah dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Ada beberapa proses perlu dilaksanakan termasuk membabitkan Sultan Kedah sebelum perkara itu (pertukaran kerajaan negeri) boleh berlaku, jadi selagi belum berlaku maka kerajaan masih beroperasi seperti biasa.

"Mesyuarat hari ini juga setuju bagi menentukan Menteri Besar masih mempunyai sokongan atau tidak, kami akan mencadangkan kepada Sultan Kedah agar ia diputuskan melalui Sidang DUN," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) yang tidak dihadiri tiga EXCO iaitu Halimaton Shaadiah Saad (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Azman Nasrudin (Pertanian dan Sumber Tani) dan Firdaus Ahmad (Penerangan, Komunikasi dan Multimedia).

Mukhriz berkata, semua pihak perlu patuh kepada Perlembagaan dan Undang Undang Tubuh Negeri dalam menentukan siapa wajar dilantik menjadi Menteri Besar serta menubuhkan kerajaan negeri.

"Ada interpritasi Perlembagaan menyatakan perkara ini boleh dibawa ke DUN dan ahli boleh berbincang secara tertib serta mengemukakan hujah mengapa hilang kepercayaan kepada Menteri Besar sebelum proses undian dibuat.

"Dalam perlembagaan menjelaskan peranan Tuanku Sultan dalam melantik Menteri Besar dalam kalangan ADUN yang mendapat sokongan majoriti, namun bagi memberhentikan Menteri Besar perkara itu tidak jelas.

"Disebabkan itu saya sudah mendapat mandat daripada EXCO untuk mengemukakan syor agar ia diputuskan pada Sidang DUN dan terpulang kepada Tuanku Sultan bagi memperkenannya," katanya.

Mengulas berhubung Akuan Bersumpah yang dibuat 23 ADUN termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau menjelaskan semua ADUN Pakatan Harapan dan BERSATU sudah menandatangani SD menyokong beliau kekal sebagai Menteri Besar sebelum ini.

"Ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan di Pusat, saya balik ke sini dan berjumpa semua ADUN PH dan BERSATU bagi mewujudkan kerajaan negeri PH campur BERSATU.

"Saya tidak mengatakan SD tidak boleh dipakai namun Ketua Pembangkang perlu melalui proses betul kerana pada sidang media beliau tidak nampak 23 ADUN jadi bagaimana kita mahu pastikan sokongan berkenaan," katanya.

Semalam, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (4), UMNO (2) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, PKR (5), AMANAH (4), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (4), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (2), UMNO (2) dan Bebas (2).

Berita berkaitan:

  • Saya masih Menteri Besar: Mukhriz
  • Sanusi bakal MB Kedah baharu?
  • PN Kedah umum pembentukan kerajaan negeri baharu
  • ADUN Sidam, Lunas keluar PKR, sokong Muhyiddin
  • PN dijangka umum kerajaan negeri baharu Kedah
  • Kemelut Kedah berakhir hari ini?
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 4:18 PM