SHAROL Cheah di samping calon SPM lain diraikan pada majlis di sekolahnya di Langkawi. FOTO Hamzah Osman.
SHAROL Cheah di samping calon SPM lain diraikan pada majlis di sekolahnya di Langkawi. FOTO Hamzah Osman.
Hamzah Osman


“SAYA terharu diraikan sebagai wirawati dengan memakai selempang tertulis ‘Mahsuri Hebat’ seperti ini,” kata Sharol Cheah Xue Rou, 17.

Anak sulung daripada dua beradik itu memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, hari ini.

Malah, dia yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi muncul calon tunggal dari Langkawi yang memperoleh 10A.

Terdahulu, Sharol Cheah dipakaikan selempang berkenaan dan disuap kek oleh Penolong Kanan Kokurikulum Haselina Ibrahim pada Majlis Penyerahan Keputusan SPM di pekarangan SMKM.

Anak kepada mekanik itu berkata, tidak mempunyai resipi kejayaan khusus sebaliknya, hanya memberi tumpuan penuh ketika guru mengajar selain perbincangan kumpulan belajar.

“Dua subjek yang paling saya bimbang adalah Matematik Tambahan dan bahasa Cina kerana pencapaian sebelum ini ada turun naik.

“Bagaimanapun, usaha berterusan yang tidak kenal putus asa membantu saya mencatat keputusan cemerlang ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKM Dzul Osman berkata, calon cemerlang dipakaikan selempang istimewa itu untuk menghargai pencapaian mereka yang turut mengharumkan nama sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 2:09 PM