AL'Aziz Adni Ahmad Puad (memakai selempang) disuap pulut kuning oleh Mahtar (tiga kanan). FOTO Hamzah Osman
AL'Aziz Adni Ahmad Puad (memakai selempang) disuap pulut kuning oleh Mahtar (tiga kanan). FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Gimik guru memakaikan selempang dan menyuap pulut kuning kepada murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memeriahkan majlis penyerahan keputusan di Sekolah Kebangsaan Langkawi (SKL), di sini, hari ini.

Penghargaan itu turut menyebabkan Al'Aziz Adni Ahmad Puad, 12, yang memperoleh 6A sebak sejurus selesai disarungkan selempang dan disuap pulut kuning oleh Guru Besarnya, Mahtar Desa, sambil diberi tepukan gemuruh rakan-rakannya.

Ketika ditemui, Al'Aziz Adni berkata, dia teruja apabila diraikan sebagai wira walaupun tidak pernah terbayangkan situasi seperti itu ketika menjawab soalan peperiksaan, September lalu.

Anak tunggal yang tinggal bersama datuknya, Md Isa Saad, 82, sejak lahir selepas ibunya, Noraini Md Isa, 52, dan bapanya berpisah itu adalah murid tunggal daripada 90 calon sekolah itu yang memperoleh A bagi semua mata pelajaran diambil.

"Selain tunjuk ajar guru, pesanan datuk supaya belajar rajin-rajin dan jangan cepat mengalah jika berhadapan masalah menjadi semangat untuk saya jawab peperiksaan," katanya yang bercita-cita menjadi jurutera.

Sementara itu, Mahtar berkata, acara itu bagi menghargai pencapaian cemerlang pelajar terbabit yang turut mengharumkan nama sekolah.

Hadir sama, Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Halid Ali dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Mohd Sofi Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 1:46 PM