Generasi ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Wan Nawawi, 37 (berdiri di belakang, tengah) bergambar bersama sebahagian kanak-kanak yang juga peserta pertandingan pakaian klasik bertemakan 'Jelmaan Mahsuri dan Wan Derus' sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Langkawi SkyCab di Oriental Village, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Generasi ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Wan Nawawi, 37 (berdiri di belakang, tengah) bergambar bersama sebahagian kanak-kanak yang juga peserta pertandingan pakaian klasik bertemakan 'Jelmaan Mahsuri dan Wan Derus' sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Langkawi SkyCab di Oriental Village, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: "Kalau sampai Langkawi saya mesti pergi Makam Mahsuri kerana rasa macam balik ke rumah sendiri," kata generasi ketujuh Mahsuri, Wan Aishah Wan Nawawi, 37.

Wan Aishah yang lahir pada 1986 dan menetap di Phuket, Thailand dikatakan menamatkan sumpah tujuh keturunan Mahsuri ke atas Pulau Langkawi.

Wan Aishah bersama suami, Alee Tongyon, 40, dan anak lelaki mereka, Abdul Mateen, 6, kini berada di pulau ini atas jemputan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Langkawi SkyCab di Oriental Village di sini, hari ini.

Anak kepada pasangan Wan Nawawi Wan Hashim dan Sumaini Karim itu, berkata dia teruja setiap kali menjejak kaki ke pulau pelancongan ini.

"Dulu, ketika pertama kali datang ke sini (Langkawi) masyarakat beri sambutan baik, hari ini pun sambutannya sama, ini menandakan orang sini suka pada saya.

"Langkawi semakin membangun dan maju. Perubahan jelas berbanding ketika pertama kali sampai sini," kata Wan Aishah menerusi penterjemah ketika ditemui di sini.

Beliau yang juga usahawan muda industri pelancongan di Phuket berkata, Makam Mahsuri adalah destinasi mesti lawat untuk dia dan keluarga ketika bercuti di Langkawi.

"Kalau sampai Langkawi saya mesti pergi Makam Mahsuri kerana sebaik masuk ke sana, saya rasa macam balik ke rumah sendiri," katanya.

Terdahulu, ketibaan Wan Aishah bersama ahli keluarganya disambut Pengerusi Lembaga Pengarah Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi) juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abdul Muttalib.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 4:05 PM