MOHAMAD Hafiz (tengah) menerima ciuman ibunya sambil diperhatikan bapanya selepas memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM. FOTO Hamzah Osman
MOHAMAD Hafiz (tengah) menerima ciuman ibunya sambil diperhatikan bapanya selepas memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Calon cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Mohamad Hafiz Zamzuri, 19, menyifatkan kejayaannya antaranya hasil usaha gigih membuat nota ringkas.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri di sini, berkata dia menulis nota ringkas setiap kali mentelaah nota panjang yang diberikan guru.

"Rupa-rupanya nota ringkas yang saya tulis banyak membantu saya membuat persiapan menjelang tarikh peperiksaan, malah ia mudah diingat.

"Saya lakukan itu kerana tidak mahu kecundang kali kedua selepas hanya mencatat 5A, 4B dan 1C dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Kilim hari ini.

Anak kedua daripada empat beradik itu memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam STPM yang diumumkan secara maya hari ini.

Mohamad Hafiz memperoleh A bagi mata pelajaran Pengajian Am, Sejarah, Geografi dan Ekonomi serta berhasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM).

"Saya bercita-cita menjadi guru apabila tamat pengajian kerana ia sesuai dengan jiwa saya yang mahu mencurahkan ilmu yang ada kepada orang lain," katanya.

Bapanya, Zamzuri Ahmad, 51, bekerja sebagai pembantu kedai perkakasan elektrik manakala ibunya, Siti Suhaida Hassan, 46, suri rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:07 PM