Keadaan motosikal mangsa di tempat kejadian. FOTO Melvin Joni
Keadaan motosikal mangsa di tempat kejadian. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


SEORANG kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) maut apabila motosikal ditunggang melanggar tiang lampu isyarat di Jalan Lapangan Terbang di Kuching, tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu berlaku ketika mangsa berusia 43 tahun dari Taman BDC Stampin dalam perjalanan ke arah Kuching Sentral.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha YZF-R25 seorang diri maut akibat kecederaan parah di kepala, tulang belakang dan leher.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati punca kemalangan dipercayai mangsa menunggang dengan laju sehingga hilang kawalan dan terbabas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak kira-kira jam 1.40 pagi tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 3:27 PM