Sepang: Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) menyasarkan jualan sehingga 300 unit sebulan bagi motosikal segmen ‘sportbike’ terbarunya menerusi Yamaha YZF-R25 yang dijangka dipasarkan pada awal April ini.

Pengarah Urusannya CH Ng berkata, berdasarkan jumlah industri keseluruhan (TIV) bagi motosikal pada tahun lalu mencatatkan jualan sehingga 540,000 unit yang mana segmen moped memperoleh tertinggi dengan 80 peratus diikuti transmisi automatik (14 peratus) dan jalanan (enam peratus).

Menurutnya, pihaknya yakin motosikal segmen jalanan akan mencatatkan peningkatan seperti jualan Yamaha FZ150 yang diperkenalkan pada tahun lalu, selain yakin bahawa Yamaha YZF-R25 akan memberi impak sama.

“Yamaha YZF-R25 ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang HLYM di Sungai Buloh, Selangor.

“Harganya masih lagi dalam perbincangan, namun kami mahu menawarkan yang berpatutan dengan anggaran awal iaitu RM20,000,” katanya selepas mempertontonkan Yamaha YZF-R25 di sini, kelmarin.

Yamaha YZF-R25 dijanakan enjin dua silinder bersesaran 250 cc yang menyalurkan kuasa maksimum 35 kuasa kuda pada 12,000 rpm dengan tork setinggi 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:26 AM