Hamzah Osman


SERAMAI 2,411 individu ditahan, manakala dadah bernilai RM1.8 juta dirampas dalam Op Mega yang diadakan seluruh negara selama dua hari berakhir semalam.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu, polis turut menyita wang tunai dan kenderaan berjumlah RM784,106.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, operasi besar-besaran itu dijalankan sebagai usaha menumpaskan kegiatan pengedaran, penyeludupan dan penagihan dadah dalam negara ini.

“Kami menyerbu 149 sarang penagihan seluruh negara, dan menahan 2,411 individu termasuk 13 penuntut.

“Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan dadah termasuk membekal, memiliki dan positif menggunakan dadah,” katanya pada ketika sidang media di Taman Nilam, Langkawi, hari ini.

Ramli berkata, seramai 2,222 individu positif dadah, 49 didapati mengedar dadah; 128 di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK); 84 individu adalah orang dikehendaki manakala 61 lagi kerana memiliki ketum.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 225.4 kilogram, 3,029 biji pil dan 336.84 liter cecair ketum,” katanya.

PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.
PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.

Ramli berkata, seramai 13 penuntut politeknik dan universiti swasta tempatan berusia antara 17 hingga 60 tahun turut ditahan dalam serbuan di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 91 individu ditahan selepas sekurang-kurangnya tiga sarang penagihan dadah digempur di Langkawi.

“Daripada jumlah itu, seramai 80 individu didapati positif dadah, dan 11 pengedar dadah.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut.

“Seramai 31 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tiga sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 1:18 PM