Hamzah Osman

OP Ice Breaker 2.0 yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) selama dua hari berakhir hari ini di seluruh negara menahan seramai 1,609 individu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan berkaitan dadah.

Kesemula mereka itu ditahan hasil serbuan JSJN di 247 sarang penagihan dadah.

Operasi besar-besaran itu adalah dalam fasa kedua dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran, penyeludupan dan penagihan dadah dalam negara ini.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kesemua mereka ditahan kerana pelbagai kesalahan dadah termasuk membekal, memiliki dan positif menggunakan dadah.

"Seramai 181 individu didapati mengedar dadah, 352 orang memiliki dadah, 1,010 orang positif dadah dan 31 orang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas dan 35 individu kerana memiliki ketum.

"Polis turut merampas dadah, antaranya syabu 2,833.4 gram (g), pil erimin 5 (41.7 g) dan pil yaba (220.1 g)," katanya ketika sidang media selepas meninjau operasi di Kampung Bukit Malut di Langkawi hari ini.

Mohd Khalil melihat sebahagian individu yang ditahan di Kampung Bukit Malut, Langkawi dalam Op Ice Breaker 2.0 hari ini. Foto Hamzah Osman
Mohd Khalil melihat sebahagian individu yang ditahan di Kampung Bukit Malut, Langkawi dalam Op Ice Breaker 2.0 hari ini. Foto Hamzah Osman

Mohd Khalil berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dalam operasi itu di seluruh negara mencecah RM150,744.

Sementara itu, beliau berkata, seramai lima wanita antara 69 individu ditahan selepas sekurang-kurangnya empat sarang penagihan dadah digempur di Langkawi.

"Daripada jumlah itu, seramai 44 individu didapati positif dadah, selain 11 orang sebagai pengedar dan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 4:43 PM