ANTARA penagih dan pengedar dadah yang ditahan di sekitar daerah Lipis dalam Ops Sarang Khas di Balai Polis Sungai Koyan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA penagih dan pengedar dadah yang ditahan di sekitar daerah Lipis dalam Ops Sarang Khas di Balai Polis Sungai Koyan. FOTO Ihsan PDRM
Roselan Ab Malek

Lipis: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, (BSJN) Polis Pahang menggempur sarang pengedar dan penagih dadah di lima daerah dan menahan 132 individu dalam operasi Ops Sarang Khas.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Ops Sarang Khas diadakan serentak di daerah Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut, Sabtu lalu sehingga semalam.

Katanya, operasi diadakan bertujuan menggempur sarang pengedar dadah yang semakin berleluasa di daerah terbabit khususnya di kawasan Felda yang mempunyai ramai penagih yang dikenal pasti menerusi risikan dan maklumat orang ramai.

"Seramai 14 orang akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis heroin dan syabu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.

"Tiga orang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu," katanya di sidang media di sini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Azmi Awang Lah dan Ketua Polis DaerahLipis, Superintendan Azli Mohd. Noor.

Beliau berkata, 21 orang disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu.

"Selain itu, 88 orang warga tempatan yang lain disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB1952 kerana positif dalam ujian air kencing dan enam orang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun kerana disyaki memiliki cecair disyaki air ketum.

"Dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 151.51 gram, syabu 113.62 gram dan pil Yaba seberat 23.85 gram berjaya dirampas.

"Ia termasuk dadah jenis eramin 54.5 gram, kodein 0.04 liter dan air ketum 4.5 liter yang keseluruhannya dianggar bernilai RM17,493," katanya.

Ramli berkata, sepanjang Januari hingga September lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menangkap 6,342 orang pengedar dan penagih dadah dengan jumlah keseluruhan kes yang direkod sebanyak 5,220 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 12:25 PM