Asrol Awang

Kuantan: Enam pengedar dadah dan 13 wanita antara 447 individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas membabitkan 246 serbuan di kawasan Felda di negeri ini selama tiga hari bermula 23 Februari lalu.

Penahanan kesemua suspek berusia 15 hingga 62 tahun itu dilakukan di 28 penempatan Felda yang dikesan menjadi tumpuan pengedaran dan penagihan dadah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang remaja berusia 15 tahun, tetapi tidak lagi bersekolah.

Katanya, dalam operasi itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah, air ketum dan sitaan harta.

Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan peta kawasan Op Tapis Khas yang dilakukan Polis Pahang.  FOTO Asrol Awang
Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan peta kawasan Op Tapis Khas yang dilakukan Polis Pahang. FOTO Asrol Awang

"Rampasan syabu seberat 122.33 gram, heroin (109.50 gram), pil yaba (72.96 gram), erimin 5 (11.76 gram) dan 48.75 liter air ketum serta sitaan harta iaitu wang tunai berjumlah RM11,250 dan lima kenderaan (RM56,000).

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah RM91,628.

"Berdasarkan maklumat, bekalan dadah ini dipercayai dari Lembah Klang dan sempadan negeri Pahang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Ramli berkata, enam pengedar akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Menurutnya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 39A (2), Seksyen 12 (2), Seksyen 15(1) (a) dan Seksyen 39C ADB 1952, serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan melakukan serbuan di kawasan Felda kerana Pahang mempunyai sebanyak 112 kawasan Felda.

"Sebahagian daripada kawasan ini dilaporkan berlaku aktiviti penyalahgunaan dadah dan serbuan dilakukan untuk melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 8:41 PM