RAZALI MOHD SHAM
RAZALI MOHD SHAM
Mahaizura Abd Malik dan Murnaena Muhammad Nasir


KEMENTERIAN Luar mengesahkan tidak menerima maklumat berhubung isu jemaah umrah Malaysia terkandas di Arab Saudi selepas kerajaan negara itu memutuskan menggantung visa umrah dan pelancong semalam.

Sumber kementerian di Kuala Lumpur hari ini berkata, setakat ini Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah tidak menerima makluman mengenai perkara itu.

“Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang terkandas, mereka dinasihatkan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

“Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sedia memberi bantuan konsular kepada mana-mana rakyat Malaysia yang terkandas di pintu masuk Arab Saudi.

“Bantuan yang diberikan tertakluk kepada kes tertentu,” katanya.

Mengulas tempoh penggantungan visa berkenaan, sumber berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan terkini daripada kerajaan Arab Saudi.

Semalam media melaporkan, Arab Saudi menggantung sementara visa kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah susulan penularan wabak Covid-19 ke Timur Tengah.

Sekurang-kurangnya 800 jemaah umrah Malaysia turut dilaporkan terkandas di Jeddah dan Madinah susulan arahan larangan kemasukan penerbangan dari Malaysia bagi membawa mereka pulang ke tanah air.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham menganggarkan kira-kira 4,000 jemaah umrah Malaysia terkandas di negara itu selepas arahan penggantungan visa dibuat serta-merta semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 8:22 PM