LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Wartawan NSTP


KERAJAAN Arab Saudi belum mengeluarkan arahan rasmi untuk menggantung sementara kemasukan jemaah Malaysia ke negara itu susulan Covid-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, sehingga 9.30 pagi hari ini, Kedutaan Arab Saudi memaklumkan tiada sekatan visa bagi tujuan menunaikan umrah dan lawatan ke Masjid Nabawi di Madinah.

“Kedutaan Arab Saudi memberitahu buat masa ini tidak ada arahan untuk menyekat jemaah Malaysia.

“Apabila disemak dengan syarikat penerbangan Arab Saudi, tidak ada arahan untuk menggantung sementara kemasukan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Razali berkata, PAPUH menjangkakan Arab Saudi hanya akan menggantung kemasukan bagi negara yang teruk terjejas berikutan Covid-19 seperti China dan Hong Kong.

“Setakat ini penerbangan bagi jemaah termasuk akan berlepas hari ini berjalan seperti biasa.

“Kerajaan Arab Saudi hanya mengumumkan akan menyekat jemaah dari negara terjejas berikutan Covid-19, cuma tidak disebut negara tersenarai.

“Kami menjangkakan Malaysia tidak termasuk di antara negara disekat memandangkan masih belum ada yang meninggal dunia berikutan Covid-19," katanya.

Beliau turut berkata, sekiranya visa jemaah Malaysia disekat, ia berkemungkinan akan menyebabkan penggiat industri umrah tanah air terjejas teruk terutama membabitkan syarikat kecil.

“Walaupun tempoh masa sekarang hingga April bukan musim puncak bagi jemaah Malaysia, tetapi ia masih memberikan kesan terutama kepada syarikat kecil kerana kebiasaannya mereka perlu membayar keseluruhan kos sebelum ketibaan jemaah.

“Jika perkara ini benar-benar berlaku, dijangkakan penggiat industri akan menanggung kerugian minimum RM50 juta sebulan membabitkan sekurang-kurangnya 10,000 jemaah," katanya.

Sementara itu, pihak Wisma Putra sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung berita penggantungan jemaah umrah dan ziarah dari negara mengalami Covid-19.

Susulan itu, kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihak berkenaan sewajarnya.

Kenyataan itu disiarkan di Twitter rasminya, hari ini.

Berita berkaitan

'Arab Saudi gantung kemasukan jemaah umrah'

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 11:08 AM