FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Saadiah Ismail


Kuala Lumpur: Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh atau Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah tidak menerima aduan bakal jemaah haji Malaysia yang terkandas untuk mengerjakan ibadat berkenaan.

Menurut kedutaan itu, sehingga kini tiada sebarang aduan diterima.

"Bakal jemaah yang mendakwa terkandas tidak sewajarnya mengatakan sebegitu sekiranya berada di luar Makkah kerana mereka boleh pulang ke Malaysia pada bila-bila masa selagi visa pelancong atau umrah mereka masih sah.

"Bagaimanapun, ketika ini sempadan Makkah sudah ditutup oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan mana-mana pelawat yang memegang pas pelancong dan umrah tidak lagi dibenarkan memasuki kawasan Makkah," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia yang masih berada di luar Makkah tanpa memiliki permit haji tetapi cuba untuk memasuki Tanah Haram dikira mempunyai niat untuk melanggar peraturan dan mereka tertakluk kepada peraturan Kerajaan Arab Saudi.

"Bagi rakyat Malaysia yang sudah memasuki Makkah tanpa permit haji, kemungkinan mereka boleh tertangkap terutamanya apabila jemaah mula memasuki Masyair (kawasan Mina, Arafah dan Muzdalifah).

"Ini kerana kawasan berkenaan terdapat pemeriksaan masuk dan semua jemaah mesti menggunakan gelang tangan penanda dan kad jemaah haji," katanya.

Pada 11 Mei lalu, media melaporkan kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah, kini dalam kebingungan apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka, gagal menunaikan janji mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Bakal haji terbabit menyedari diperdaya selepas mendapati pakej haji yang murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 1:01 PM