FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

SEORANG lelaki yang tular di media sosial kerana menghempas, memukul dan mencekik dua ekor anak anjing berusia sebulan, tahun lalu didenda RM14,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Seksyen Selayang di sini, hari ini.

Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Yahya Ammar Md Yusof, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, Yahya Ammar didakwa dengan kejamnya memukul dua ekor anak anjing di belakang rumah di Batu 11, Jalan Gombak Lama, Gombak di sini antara 10 dan 11 pagi pada 1 Ogos tahun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd Isa memohon hukuman berat dikenakan terhadap OKS dengan alasan perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kes ini telah tular di negara ini, OKS seharusnya menggunakan saluran yang betul sebelum bertindak, tambahan pula dua ekor anak anjing itu masih kecil dan tidak berupaya melawan OKS. Saya mohon hukuman yang memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Alif Ahmad Tarmizi yang mewakili OKS memohon hukuman ringan dengan alasan OKS adalah penanggung utama keluarga dan itu kesalahan pertama anak guamnya.

“Pada hari kejadian anak-anak anjing tersebut mahu menyerang dan mencederakan anak guam saya. Dia melakukan perbuatan tersebut untuk mempertahankan diri.

“Malah anak guam saya juga telah membuat laporan kepada pemimpin masyarakat (ketua kampung) untuk mengambil tindakan namun tiada tindakan diambil memandangkan anak-anak anjing ini telah mengganggu keselamatan anak guam saya dan anaknya,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan seorang lelaki telah melihat OKS sedang memukul anak-anak anjing dengan kayu dan kemudian telah mencekik lalu menghempas dua ekor anak anjing itu ke tanah.

Pada masa sama, pengadu cuba menghalang dan mencegah perbuatan OKS itu namun pengadu diberi amaran keras oleh OKS supaya tidak masuk campur dalam hal itu lalu pengadu membuat laporan kepada polis.

Berikutan itu, pihak polis telah meminta bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Gombak bagi menyelamatkan kedua-dua ekor anak anjing tersebut untuk tujuan rawatan dan penjagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 3:16 PM