FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


GARA-gara membaling kasut serta memukul seekor anjing jantan baka Rottweiler menggunakan penyodok besi, seorang kontraktor didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Tang Shu Maw ,46, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turun memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pilihan, Tang didakwa dengan kejamnya memukul seekor anjing jantan berwarna hitam miliknya di Taman Tayton View, Cheras, pada jam 9.30 malam, 18 November 2018.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Pramjit Singh yang mewakili OKS memohon denda yang ringan atas alasan anak guamnya menyesal serta tidak berniat melakukan perbuatan itu.

“Tindakan itu berlaku kerana anjing itu menggigit kasutnya menyebabkan anak guam saya membaling kasut ke lantai namun terkena ke arah anjing itu.

“Niat anak guam saya hanya untuk mendisiplinkan anjingnya bukan niat mencederakan anjing itu. Anjing itu juga tiada kecederaan malah mempunyai selera makan yang baik,” katanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Hasiah Musa bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana mendidik seekor anjing memerlukan teknik khas.

“Sebagai seorang pemilik anjing bukan hanya sekadar menjaga makan dan minum saja, tetapi kasih sayang dan menganggap anjing adalah ahli keluarga sendiri.”

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian seekor anjing jantan baka Rottweiler diperlakukan tidak sewajarnya oleh pemiliknya.

Hasil rakaman video yang dibuat oleh pengadu, mendapati Tang melakukan perbuatan memukul, membaling kasut serta menghayun satu penyodok besi terhadap seekor anjing jantan milik OKS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:39 PM