Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, hari ini kerana memindahkan 20 ekor lembu tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Ogos lalu.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Rosmadie Ramli, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah memindahkan 18 lembu hidup, seekor lembu yang lemah dan tidak bermaya serta seekor yang telah mati tanpa kebenaran bertulis dari Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Perbuatan itu, yang melanggar Perintah 4(1)(a), Perintah Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut (Negeri Selangor) 2001, dilakukan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, pada 1.10 pagi, 7 Ogos lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1)(c) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Pegawai Pendakwa Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman setimpal kerana lembu berkenaan mempunyai penyakit kuku dan mulut (FMD) yang boleh merebak kepada ternakan lain manakala, Rosmadie yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan perlu menanggung isteri serta dua anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 5:09 PM