FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Mohd Amin Jalil


KEPUTUSAN Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan warganegara asing ke negara itu bagi mengekang penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) memberi kesan kepada kira-kira 10,000 jemaah umrah dari negara ini.

Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak, berkata jumlah itu membabitkan mereka yang dijadualkan bertolak ke Makkah bagi menunaikan umrah dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, mereka antara jemaah umrah menggunakan pelbagai agensi umrah dan haji di negara ini dan dijangka bertolak ke Makkah bermula awal Mac ini.

“Sebagai pihak bertanggungjawab dalam menguruskan jemaah umrah melalui pelbagai agensi tempatan, kami terkejut dengan arahan Kerajaan Arab Saudi itu, namun sudah memaklumkan kepada semua agensi terbabit mengenai larangan berkenaan.

“Setakat ini, dianggarkan sekitar 10,000 jemaah umrah dari seluruh negara yang akan ke Makkah pada Mac ini, menerima kesan daripada larangan itu.

“Kita akur dengan arahan Kerajaan Arab Saudi itu sebagai langkah mengekang wabak Covid-19 yang boleh membawa maut dan demi kepentingan keselamatan jemaah, mereka perlu bersabar.

“Sebagai langkah jangka pendek, agensi sudah diminta membuat perundingan dengan ahli jemaah supaya meminda tarikh lain bersesuaian tanpa membabitkan pertambahan kos menunaikan umrah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Senawang, Seremban, hari ini.

Dalam laporan media semalam, Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah selain menggantung visa pelancongan dari negara berdepan ancaman Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohd Azri yang juga Timbalan Pengerusi MATTA Negeri Sembilan berkata, pihaknya berharap situasi larangan tidak mengambil masa terlalu lama kerana ia akan menyukarkan urusan jemaah umrah terutama membabitkan visa.

“Kami harap Kerajaan Arab Saudi dapat menyelesaikan masalah atau larangan ini dengan kadar segera, tambahan pula Malaysia bukan negara mempunyai kes Covid-19 serius atau kematian akibatnya.

“Jika membabitkan masa lama, ia akan memberi masalah besar kepada agensi dan jemaah umrah, tambahan pula Ramadan akan tiba tidak lama lagi dan sedia maklum kadar umrah bagi Ramadan adalah berbeza dengan bulan biasa,” katanya.

Mohd Azri berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan di Arab Saudi dan sebarang maklumat atau arahan terkini akan dimaklumkan kepada agensi umrah dan haji berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 3:09 PM