MOHD AZRI ABD RAZAK
MOHD AZRI ABD RAZAK
Mohd Amin Jalil


AGENSI umrah di negara ini mendakwa kerugian RM120 juta susulan tiada tempahan menunaikan umrah dan ziarah dalam tempoh tiga bulan bermula Februari lalu.

Malah, nilai kerugian itu dijangka lebih tinggi jika penularan wabak Covid-19, berlarutan lebih lama.

Naib Presiden Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) Malaysia, Mohd Azri Abd Razak berkata, semua aktiviti umrah dan ziarah terhenti sejak pertengahan Februari lalu susulan wabak berkenaan.

Katanya, statistik itu mengambil kira antara 18,000 hingga 20,000 rakyat negara ini yang menunaikan umrah dan melakukan ziarah dengan kos minimum RM6,000 setiap seorang.

“Kami menjangkakan jumlah kerugian dialami agensi berkenaan sebenarnya lebih tinggi.

“Jika mengambil kira statistik sepanjang tahun lalu, secara keseluruhan seramai 270,000 umat Islam dari negara ini menunaikan umrah dan jumlah itu meningkat pada bulan Rejab sehingga Ramadan,” katanya Seremban, hari ini.

Mohd Azri yang juga Timbalan Pengerusi MATTA Negeri Sembilan berkata, ketika ini terdapat 9,000 ejen yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan muassasah bagi mendapatkan perkembangan semasa di Arab Saudi.

Bagaimanapun, katanya, mereka menjangkakan kebenaran untuk menunaikan umrah mungkin akan diberikan selepas musim haji tahun ini.

Bagi mereka yang sudah membuat tempahan umrah sebelum ini, Mohd Azri berkata, semua ejen akan menetapkan tarikh baharu selepas kebenaran menunaikan umrah diperoleh daripada pihak berkuasa Arab Saudi dan visa dikeluarkan.

“Mungkin bayaran tempahan itu akan dibawa ke tahun hadapan bergantung kepada kebenaran menunaikan umrah oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 4:50 PM