Raja Noraina Raja Rahim dan Faliqah Alia Radin Mohd


PEMBUBARAN parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bukan langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negara ketika ini.

Pengerusi Gerakan Pertahankan Kedaulatan Perlembagaan, Tun Mohammed Hanif Omar berkata, ini kerana negara belum berhadapan sebarang isu yang mengancam keselamatan negara dan darurat.

Mantan Ketua Polis Negara itu berkata, rakyat bimbang akan kemelut politik yang melanda ketika ini dan mahu penyelesaian terbaik dilaksanakan selain perlu berdepan masalah ekonomi.

“Baru-baru ini jadi krisis politik yang mana kami berpandangan untuk selesaikan (kemelut politik) tidak perlulah bubar parlimen.

“Penyelesaian itu akan memberi lebih banyak risiko kepada negara ditambah pula keadaan ekonomi kurang baik. Kami sudah menyuarakan pandangan ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum menyelamatkan Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Terdahulu, beliau bersama mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang memasuki Istana Negara menerusi Pintu 3 dan menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Ditanya mengenai isi kandungan memorandum berkenaan, Mohammed Hanif enggan mendedahkannya dan menyerahkan keputusan menyelesaikan konflik politik kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Mohammed Hanif berkata, konflik politik yang berlaku sekarang di luar jangkaan kerana kurang pemahaman mengenai perlembagaan negara.

“Kami juga menolak kerajaan campuran yang dicadangkan itu. Meskipun ia tidak memberi implikasi kepada keselamatan negara, tetapi dari segi akauntabiliti, mereka menjawab kepada siapa nanti.

“Kita perlu ada pembangkang dalam negara untuk timbang tara yang selari dengan sistem perlembagaan. Apa pun kita perlu akur kepada perlembagaan dan Yang Di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa eksekutif untuk melantik Perdana Menteri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 12:13 PM