GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP/AIZUDDIN SAAD
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP/AIZUDDIN SAAD
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal dengan pendirian untuk mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan daripada gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan GPS.

GPS dalam kenyataan hari ini berkata, gabungan itu mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Berikutan kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

"Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara," kata kenyataan itu.

GPS turut menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumumkan GPS bersetuju untuk membentuk Kerajaan Persekutuan bersama empat lagi pakatan parti politik Semenanjung dan Sabah itu demi mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan campuran bersama GPS dengan PN, BN dan GRS itu dipersetujui dalam pertemuannya bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di ibu negara, pagi Ahad lalu.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, kerajaan campuran yang bakal dibentuk itu bermatlamat untuk menegakkan keluhuran Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Malah pada sidang media selepas pengumuman itu, beliau berkata GPS memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri namun menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 10:37 AM