Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat supaya bersabar dalam kemelut politik yang berlaku dalam negara ketika ini.

Baginda bertitah, kerajaan sementara (caretaker) ketika ini masih berjalan seperti biasa.

"Harap semua bersabar dan bertenang. Saya tidak akan keluarkan apa-apa kenyataan.

"Semua boleh rujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh istana negara," katanya ringkas.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan bertemu dan menyampaikan bungkusan makanan kepada pengamal media yang berkumpul di hadapan pintu Istana Negara, di sini, jam 1.37 petang tadi.

Baginda meluangkan masa kira-kira lima minit untuk beramah mesra dengan pengamal media.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti bagi pembentukan kerajaan baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ditangguhkan sehingga jam 2 petang, esok.

Katanya, ia susulan permohonan daripada ketua parti politik dan gabungan parti politik yang diterima pihak Istana Negara, hari ini.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertemu pengamal media yang membuat liputan di depan Pintu 2 Istana Negara menunggu kehadiran ketua parti bagi mengemukan calon Perdana Menteri. FOTO Aswadi Alias
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertemu pengamal media yang membuat liputan di depan Pintu 2 Istana Negara menunggu kehadiran ketua parti bagi mengemukan calon Perdana Menteri. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 2:15 PM