TAN Sri Muhyiddin Yassin.
TAN Sri Muhyiddin Yassin.
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

Beliau mengesahkan perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Parlimen Bersatu dengan Perdana Menteri di Pejabat Perikatan Nasional di Publika, hari ini.

"Ya, benar peletakan jawatan...esok" katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Muhyiddin akan menawarkan peletakan jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, peletakan jawatan itu adalah jalan terakhir yang di ambil berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita bertanggungjawab dengan keadaan yang berlaku hari ini, kita sudah usaha yang terbaik untuk memastikan pengurusan Covid-19 berjalan dengan baik dalam pergolakan politik yang melanda.

"Kita sudah sampai ke tahap tidak boleh buat apa-apa pun... yang terakhir adalah strategi bipartisan, tetapi tidak disambut, jadi kita kena letak jawatan... kita sudah usaha terbaik untuk rakyat," katanya.

Terdahulu, katanya mesyuarat di Publika pagi hari ini adalah antara Muhyiddin dengan ahli Parlimen Bersatu dan mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:47 PM