SEBAHAGIAN ahli parlimen PAS menaiki bas dari Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk ke Istana Negara. FOTO Asyraf Hamzah
SEBAHAGIAN ahli parlimen PAS menaiki bas dari Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk ke Istana Negara. FOTO Asyraf Hamzah
Siti Nur Mas Erah Amran


PAS Kedah berharap satu keputusan terbaik mampu dicapai selepas semua Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Pesuruhjayanya Ahmad Yahaya berkata, situasi politik semasa negara kini dilihat berada dalam keadaan membimbangkan dan masih berlarutan pada hari keempat.

Katanya, namun atas kebijaksanaan masyarakat, mereka meneruskan rutin harian seperti biasa walaupun terdapat pelbagai persoalan belum terjawab.

“Blok Muafakat Nasional semalam menegaskan persetujuan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, jika pembentukan kerajaan baharu itu dibuat tanpa penyertaan DAP.

“Jika itu tidak berlaku, Blok Muafakat Nasional mencadangkan supaya Parlimen segera dibubarkan dan pilihan raya umum perlu diadakan untuk mendapatkan mandat rakyat.

“PAS Kedah mengambil sikap menyerahkan keputusan terbaik kepada pimpinan PAS Pusat dan berdoa agar kemelut politik ini akan segera berakhir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sesi kedua Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara tumpuan berkaitan perkembangan terkini situasi politik semasa di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 4:39 PM