KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Pejabat TYT di Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka. FOTO AMIR MAMAT
KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Pejabat TYT di Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


MESYUARAT mingguan yang dipengerusikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, hari ini berlangsung tanpa kelibat dua ahli EXCO negeri.

Mereka adalah EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan EXCO Perdagangan, Perindustrian dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Difahamkan, Mohd Rafiq pada ketika ini berada di Kuala Lumpur atas urusan parti, manakala Muhammad Jailani pula gagal dihubungi.

Usaha media menghubungi Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia itu sejak pagi juga gagal.

Mesyuarat EXCO itu diadakan di pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri bermula jam 11 pagi tadi.

Hingga jam 2.30 petang tadi, media dimaklumkan bahawa mesyuarat EXCO berkenaan masih berlangsung.

Lebih 20 petugas media berkumpul di luar perkarangan Kompleks Seri Negeri sejak kelmarin bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi politik tempatan susulan perubahan landskap politik di peringkat nasional.

Sebelum itu,

Adly mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri, di sini.

Pertemuan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan itu bermula kira-kira jam 9.15 pagi.

Ketika ditemui di luar perkarangan Kompleks Seri Negeri sebelum pertemuan itu, Adly berkata perjumpaan itu diadakan setiap dua minggu sekali bagi memaklumkan kepada Mohd Khalil mengenai situasi politik semasa serta perkembangan pentadbiran kerajaan negeri.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:45 PM