ADUN Ismail mengangkat sumpah sebagai ahli EXCO Melaka, hari ini. FOTO Amir Mamat
ADUN Ismail mengangkat sumpah sebagai ahli EXCO Melaka, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.

Pelantikan Ismail, 64, melengkapkan senarai 10 ahli Exco negeri seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, seminggu selepas mengambil alih pentadbiran negeri menerusi gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 13 Mac lalu.

Sebelum ini, Sulaiman mengumumkan sembilan Exco serta portfolio masing-masing serta mengosongkan satu jawatan untuk diisi dalam tempoh sebulan.

Mereka yang dilantik sebelum ini adalah Adun Sungai Udang yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri); Adun Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar); Adun Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri); Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (Exco di Jabatan Ketua Menteri).

Turut dilantik, Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan); Adun Taboh Naning, Datuk Latipah Omar (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan), Adun Merlimau, Datuk Roslan Ahmad (Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur), Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri) manakala Adun Ayer Molek, Rahmad Mariman (Exco Kesihatan dan Antidadah).

Jawatan Exco dikosongkan pula akan mengetuai portfolio Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri.

Sulaiman mengucapkan tahniah kepada Ismail atas lantikan berkenaan dan berharap pengalaman sebagai Exco negeri sebelum ini dapat digunakan bagi membangunkan lagi Melaka ke tahap lebih baik.

Ismail yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, pernah dilantik sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri selama sepenggal (2013-2018).

Sementara itu, Ismail berterima kasih kepada Mohd Khalil serta kerajaan negeri yang terus memberikan kepercayaan kepadanya untuk menganggotai Kabinet negeri.

"Saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab diberikan dan bersedia memikul amanah ini dengan penuh tawaduk selain berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam melaksanakan tugas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 4:48 PM