MELAKA 4 MAC 2020. Presiden UMNO. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media berhubung kemelut politik di Melaka, hari ini. NSTP/AMIR MAMAT
MELAKA 4 MAC 2020. Presiden UMNO. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media berhubung kemelut politik di Melaka, hari ini. NSTP/AMIR MAMAT
Amir Mamat


KETUA Menteri Melaka baharu masih belum diputuskan walaupun Barisan Nasional (BN) sudah mengemukakan nama calon bagi menggantikan Adly Zahari yang hilang kepercayaan untuk memimpin negeri itu.

Difahamkan, selain nama dikemukakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mencadangkan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Dalam sidang medianya di Ayer Keroh, hari ini, Ahmad Zahid enggan mendedahkan nama dicadangkan BN itu.

Beliau mengakui sudah mengemukakan nama ADUN BN dengan mengambil kira semua nama (13 ADUN) dipilih dan diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka mengikut Perlembagaan Negeri dan kuasa tertentu mengikut peruntukan terdapat dalam undang-undang tubuh negeri.

“Keputusan muktamad akan dibuat Yang di-Pertua Negeri adalah berdasarkan kepada cadangan dikemukakan.

“Maka, sebarang keputusan dibuat dan dengan kuasa yang ada pada beliau, mengikut Perlembagaan Negeri akan kami hormati,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN negeri berkata, Umno dan BN akan menghormati dan taat kepada setiap keputusan yang akan dibuat Mohd Khalil selain meminta rakyat di negeri itu bertenang dengan situasi berkenaan.

“Sama-sama kita berdoa keputusan bakal dibuat itu memberi kebaikan kepada semua (dan sudah pasti) akan kita hormati,” katanya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan tertutup lebih sejam dengan semua 13 ADUN BN di Hotel MITC, Ayer Keroh.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan bekas Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

Difahamkan, nama dikatakan dihantar untuk pertimbangan Mohd Khalil adalah ADUN Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali dari BN manakala Bersatu mencalonkan ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Susulan perkembangan terbaharu itu, keputusan pelantikan Ketua Menteri Melaka ke-12 masih tergantung.

Pada Isnin lalu, BN Melaka mengumumkan membentuk kerajaan negeri yang baharu menerusi gabungan bersama Bersatu selain penyertaan ADUN Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

BN negeri yang memiliki 13 ADUN, diperkukuhkan lagi dengan penyertaan dua ADUN Bersatu iaitu Mohd Rafiq (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani dan Norhizam menjadikan sokongan kepada PN berjumlah 17 daripada 28 ADUN di negeri itu.

Keadaan itu sekali gus menyaksikan PH Melaka hilang sokongan majoriti ADUN.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 5:25 PM