GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri


Melaka: Sembilan lelaki yang juga penarik kereta dicekup polis selepas disyaki terbabit insiden pergaduhan berkumpulan di Jalan Datuk Haji Mohd Zain, Batu Berendam, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semua lelaki terbabit yang berusia antara 20 hingga 64 tahun ditahan selepas pihaknya menerima aduan, pada 7.30 malam.

Beliau berkata, kejadian disyaki berpunca daripada pertelingkahan dua kumpulan penarik kereta yang berebut pelanggan untuk perkhidmatan menunda kenderaan.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke lokasi, dan menahan kesemua suspek.

"Hasil siasatan mendapati kesemua yang ditahan mendakwa terbabit dalam kes gaduh itu," katanya.

Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Selain itu, polis menasihatkan orang awam agar tidak lagi memanipulasi dan membuat spekulasi berhubung kejadian bagi mengelakkan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dikenakan terhadap mereka," katanya.

Terdahulu, tular beberapa video di media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan itu sebelum polis tiba di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 8:58 AM