GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


SEORANG pelajar perempuan tingkatan empat membuat laporan polis mendakwa dirogol bergilir-gilir oleh tiga pelajar ‘senior’ di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, Julai lalu.

Mangsa membuat laporan polis pada Rabu lalu dan tiga pelajar lelaki berusia 17 tahun terbabit yang juga bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, mangsa mendakwa dia keluar bersama seorang daripada suspek pada hari kejadian, manakala dua lagi rakan lelaki menunggu di sebuah pangsapuri.

“Suspek memberitahu mangsa yang mereka semua akan keluar makan dan mengajaknya pergi ke pangsapuri berkenaan terlebih dahulu untuk bertemu rakan yang lain.

“Bagaimanapun, ketika berada di pangsapuri terbabit, mangsa dirogol secara bergilir-gilir dan suspek turut mengugut akan menyebar video perbuatan itu kepada pelajar lain sekiranya mangsa enggan menuruti kehendak mereka,” katanya.

Anbalagan berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengatakan dia tidak mempunyai teman lelaki dan mendakwa itu kali pertama melakukan hubungan seks.

“Mangsa juga mendakwa dia tidak pasti mengenai kewujudan video aksi dia dirogol itu dan memberitahu tidak pernah melihatnya.

“Setakat ini, kita sudah menahan semua suspek terbabit dan mereka ini belajar di sekolah yang sama di Bayan Lepas dan bakal menduduki SPM,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan awal pagi semalam dan mereka direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 3:54 PM