PENDUDUK mendapatkan bekalan air disedikan Air Selangor. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
PENDUDUK mendapatkan bekalan air disedikan Air Selangor. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
BERNAMA

PEMULIHAN bekalan air di kawasan Ampang, Selangor mencapai tahap 95.3 peratus setakat 7 pagi, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, hanya tiga kawasan iaitu Kampung Ampang Campuran, Kampung/Taman Tasek Tambahan dan Taman Sri Bayu Ampang yang berada di penghujung sistem bekalan air masih dalam proses pemulihan sepenuhnya.

“Bantuan bekalan air menerusi lori tangki terus digerakkan dengan tumpuan tiga lokasi yang belum pulih.

“Pelanggan juga digalakkan untuk terus ke Pusat Khidmat Setempat di AEON Big Ampang, Taman Dagang Permai dan Pili Awam Lembah Jaya untuk mendapatkan bantuan atau boleh juga hubungi talian 15300,” katanya.

Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang sudah menerima bekalan air supaya menggunakan air secara berhemat.

Menurutnya, penggunaan air secara maksimum pada ketika ini akan melambatkan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas.

Kejadian paip pecah pada sistem paip di Rumah Pam Hulu Kelang pada Jumaat, menyebabkan 57 kawasan di Wilayah Gombak mengalami gangguan bekalan air sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 9:44 AM