FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Gangguan bekalan air di 41 kawasan yang terjejas dengan kerja pembaikan paip pecah berhampiran Jejambat Ampang Point, di sini, pulih 71 peratus, sehingga 1 tengah hari.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, sebanyak 12 kawasan belum pulih berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

"Kawasan terbabit adalah Taman Bukit Indah, Taman TTDI Jaya Bukit Indah Ampang, Taman Dagang Permai, Kampung Tasik Permai, Kampung Ampang Indah, Kampung Indah Permai.

"Kampung Ampang Campuran, Taman Faizura Ampang, Taman Permai Jaya Ampang, Kampung/Taman Tasek Tambahan, Taman Sri Bayu Ampang dan Taman Sri Baru Ampang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Namun katanya, bekalan air di lokasi yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 malam ini.

"Bagaimanapun bantuan air alternatif melalui lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air dari lori tangki ini," katanya.

Elina berkata, Air Selangor menyarankan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Katanya, Air Selangor berharap pengguna yang sudah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh termasuk di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 2:57 PM