DZULKEFLY ketika memberi taklimat kepada media mengenai kemas kini 2019-nCoV, Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
DZULKEFLY ketika memberi taklimat kepada media mengenai kemas kini 2019-nCoV, Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

SEJUMLAH 74 orang dikenal pasti melalui pengesanan kontak susulan kes pertama rakyat Malaysia dijangkiti novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 35 kontak rapat dikesan dan sampel diambil daripada mereka.

“Selepas itu, kesemua kontak rapat ini akan diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan dengan segera,” katanya semasa taklimat harian kepada media mengenai kemas kini 2019-nCoV, Putrajaya hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 41 tahun dari Selangor menjadi rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti 2019-nCoV.

Dilaporkan bahawa mangsa melakukan perjalanan ke Singapura untuk menghadiri satu persidangan dengan delegasi antarabangsa, termasuk dari China.

Dr Dzulkefly berkata pengesanan kontak sedang dijalankan buat masa ini dan orang ramai akan dikemas kini mengenai perkembangan terbaharu dari semasa ke semasa.

Beliau berkata semua kontak rapat itu akan dipantau dengan teliti oleh kakitangan Kementerian Kesihatan.

“Jika mereka mengalami sebarang gejala atau sampel diuji positif, mereka akan dimasukkan ke hospital dengan segera,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan mendedahkan sejarah perjalanan mereka yang dijangkiti seperti yang dilakukan di Singapura, Dr Dzulkefly berkata kementerian melakukan pengesanan kontak dengan teliti dan perkara itu adalah dalam pengetahuan mereka.

“Bagaimanapun, sama ada kita ingin mendedahkannya atau tidak bergantung kepada kepentingan dan kesannya kepada orang ramai. Kami telus dari hari pertama dan akan kekal dengan prosedur serta etika seperti itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 10:19 PM