Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika sidang media Perkembangan Situasi Terkini Jangkitan Novel Coronavirus 2019 di Ruang Legar Bilik Mesyuarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika sidang media Perkembangan Situasi Terkini Jangkitan Novel Coronavirus 2019 di Ruang Legar Bilik Mesyuarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Amir Abd Hamid

TIADA penambahan kes positif koronavirus (2019-nCoV) baharu di Malaysia setakat jam 12 tengah hari tadi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kumulatif kes positif koronavirus yang dilaporkan kekal lapan kes setakat ini.

Pecahan lapan kes itu katanya, membabitkan tiga kes yang terdahulu dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima kes dalam kalangan kontak rapat.

"Semua kes positif 2019- nCoV ini adalah warganegara China. Sehingga jam 12 tengahari 3 Februari 2020, jumlah kumulatif kes PUI bagi 2019-nCoV adalah 192 orang; di mana 105 adalah warga negara Malaysia, 82 warga negara China dan masing-masing satu warga negara Australia, Republik Korea, Jordan, Brazil dan Thailand.

"Tiga kes sudah disahkan positif 2019-nCoV, 173 kes negatif dan 16 masih menunggu keputusan makmal," katanya dalam sidang media di Putrajaya tadi.

Beliau berkata, kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV kekal seramai 32 orang.

Menurutnya, daripada jumlah itu lima kes disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh (empat orang) dan Hospital Permai (seorang).

"Alhamdulillah ini adalah hari keempat tiada penambahan kes 2019-nCoV. Semua kes terdahulu adalah dalam keadaan stabil.

"Manakala ujian makmal ke atas 27 kontak rapat lain didapati negatif jangkitan 2019-nCoV," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 6:45 PM