SEBAHAGIAN individu yang tidak patuh peraturan berniaga dengan menyewa basikal di dalam kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
SEBAHAGIAN individu yang tidak patuh peraturan berniaga dengan menyewa basikal di dalam kawasan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
Nurul Hidayah Bahaudin


KEHADIRAN pengunjung yang ramai menyebabkan Taman Tasik Titiwangsa, di sini, dipenuhi penjaja haram dengan menjual pelbagai makanan, minuman dan barangan.

Setiap hari terutama ketika cuti umum dan hujung minggu dianggarkan lebih 30 penjaja serta individu yang menjalankan kegiatan menyewa basikal secara haram di taman berkenaan.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati beberapa penjaja yang menjual minuman menggunakan kereta sorong turut berada dalam kawasan taman itu.

Jumlah penjaja haram juga akan bertambah pada waktu puncak di sebelah petang dan malam terutama di kawasan ‘helipad’ dengan adanya individu menjual barangan seperti belon dan permainan.

Pengunjung taman itu, Mohd Syafiq Mat Saad, 27, berkata, kemunculan penjaja haram dalam kawasan taman itu menyebabkan persekitaran kotor.

“Ada banyak sampah seperti botol air dan bungkusan makanan dibuang di kawasan berhampiran mereka beroperasi dan ini menyebabkan persekitaran taman kotor.

“Malah, kualiti makanan serta minuman dijual juga diragui sama ada bersih atau sebaliknya memandangkan ia dijual di tempat terbuka,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Dania Hani Mohd Hasani, 14, berkata, dia kerap bersiar-siar bersama rakan di taman itu dan terserempak dengan penjaja haram yang menjual air.

“Kadangkala saya dan rakan membeli minuman daripada mereka.

“Ini kerana ia lebih mudah kerana kami tidak perlu berjalan jauh ke tempat menjual makanan dan minuman yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan (JPK) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azmi Abdul Hamid berkata, sebanyak 53 tindakan sita dikenakan terhadap penjaja haram yang berniaga di kawasan Taman Tasik Titiwangsa bagi tempoh hampir dua bulan taman berkenaan dibuka semula kepada umum.

"Permintaan tinggi berdasarkan jumlah pengunjung yang ramai mengundang kehadiran penjaja haram yang menjual pelbagai minuman, makanan, permainan serta sewa basikal.

"Sejak 15 Disember hingga 28 Januari lalu, sebanyak 53 tindakan sita dikenakan terhadap penjaja haram selain sembilan notis mengikut UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

"Seramai 30 pegawai dan anggota JPK DBKL ditempatkan di taman berkenaan bagi memantau aktiviti penjualan tanpa kebenaran dalam kawasan taman," katanya.

Azmi berkata, kebanyakan penjaja haram yang dikenakan tindakan memberikan alasan tidak tahu mengenai peraturan serta larangan menjaja dalam kawasan taman itu.

"Sebelum ini, kami sudah meletakkan notis larangan menjaja dalam kawasan taman ini, namun masih ada penjaja yang berdegil walaupun kerap kali tindakan sita diambil.

"Ini kerana mereka mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang mahu membeli makanan, minuman atau menyewa basikal dengan mudah tanpa perlu berjalan jauh ke lokasi disediakan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan kemudahan untuk penjaja secara sah di kawasan parkir taman itu yang terletak di Jalan Temerloh dan Jalan Tembeling.

"Sebanyak sembilan gerai makanan dan minuman disediakan dalam kawasan parkir di Jalan Tembeling dan beberapa trak makanan berlesen berada di tapak parkir di Jalan Temerloh.

"Malah, DBKL juga dalam proses untuk menyediakan ruang niaga makanan di Boat House dan tapak restoran (Satay Station) bagi memberi peluang kepada peniaga berniaga," katanya.

Menurutnya, DBKL kini dalam proses membina pagar dengan ketinggian 1.2 meter di seluruh kawasan Taman Tasik Titiwangsa bagi mengurangkan masalah penjaja haram.

"Pembinaan pagar terbabit dijangka selesai sepenuhnya pada Mac nanti. Dengan pembinaan pagar itu, ia dapat mengawal kemasukan penjaja haram ke dalam kawasan taman berkenaan.

"Pada masa sama, saya menasihatkan penjaja supaya mematuhi peraturan ditetapkan dengan menjalankan perniagaan di kawasan yang dibenarkan," katanya.

-tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 6:48 PM