SERBUAN DBKL dalam operasi tindakan khas di Jalan Alor Bukit Bintang. FOTO ihsan DBKL
SERBUAN DBKL dalam operasi tindakan khas di Jalan Alor Bukit Bintang. FOTO ihsan DBKL
Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Tidak sempat 'bernyawa' apabila lokasi panas peniaga warga asing di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, digempur sekali lagi oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lokasi panas penjaja tanpa lesen dan peniaga warga asing itu sebelum ini pernah diambil tindakan namun peniaga warga asing di situ masih berdegil meneruskan perniagaan.

DBKL dalam satu hantaran di Facebook berkata, operasi terbaru jam 6.30 petang semalam, membabitkan Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama pejabat DBKL cawangan Bukit Bintang dan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL.

Katanya, tindakan khas itu dilaksanakan mengejut membabitkan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan termasuk penjaja makanan, minuman, aksesori, pakaian dan lain-lain aktiviti perniagaan.

"Antara kesalahan dilakukan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, salah guna lesen, halangan tred perniagaan di tempat awam dan penjaja warga asing.

"Melalui tindakan khas dijalankan, DBKL membuat 15 tindakan sita membabitkan dua kes pemilik premis makanan atas kesalahan meletakkan barangan dan peralatan di tempat awam, sembilan kes warganegara menjaja tanpa lesen serta empat kes penjaja warga asing tanpa lesen," katanya.

Menurutnya, kesemua tindakan sita itu diambil mengikut peruntukan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

DBKL berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu notis penguatkuasaan mengikut Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, dua notis kompaun penjaja tanpa lesen dan dua notis kompaun atas kesalahan melantik pembantu gerai warga asing mengikut UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

"Barangan dan peralatan disita akan dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 3:26 PM