UNIT Peronda Berbasikal DBKL sempat berbual dengan pengunjung di Taman Tasik Titiwangsa.
UNIT Peronda Berbasikal DBKL sempat berbual dengan pengunjung di Taman Tasik Titiwangsa.
SEBUAH kereta disaman kerana meletakkan kenderaan di tepi jalan sedangkan ruang meletak kenderaan masih kosong.
SEBUAH kereta disaman kerana meletakkan kenderaan di tepi jalan sedangkan ruang meletak kenderaan masih kosong.
INSPEKTOR Unit Peronda Berbasikal DBKL memeriksa topi yang dipakai anggotanya.
INSPEKTOR Unit Peronda Berbasikal DBKL memeriksa topi yang dipakai anggotanya.
MEMASTIKAN kit perubatan dan buku notis saman siap sedia di dalam beg.
MEMASTIKAN kit perubatan dan buku notis saman siap sedia di dalam beg.
Oleh Siti Salmiah A Hamid

Terpampang di dada akhbar tempatan pelbagai kisah jenayah yang semakin berleluasa sama ada di bandar atau luar bandar.

Kes jenayah besar membabitkan pembunuhan, penipuan kolar putih serta penyeludupan bahan terlarang seperti dadah semakin membimbangkan masyarakat.

Itu belum lagi jenayah seperti samun, ragut, pecah rumah dan penagihan dadah yang terus menghantui masyarakat.

Meskipun keganasan dan jenayah masih berlaku, masyarakat perlu berterima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan dan keamanan negara dikekalkan.

Pujian juga patut diberikan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui pasukan penguat kuasa berbasikal yang beroperasi 1 Oktober tahun lalu bagi menjaga keamanan di ibu kota terutama di kawasan rekreasi.

Dalam pakaian seragam, topi dan vest, penguat kuasa berbasikal DBKL tampak elegan dan serius menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Inspektor Unit Peronda Berbasikal DBKL, Nor Effandy Rosli berkata, kakitangan penguat kuasa berbasikal DBKL menjalani kursus selama empat hari yang dibimbing wakil Persatuan Polis Mountain Bike Antarabangsa (IPMBA), Troy Gielish.

"Staf unit berbasikal menerima latihan mengendalikan basikal dan teknik keselamatan selain pencegahan jenayah ketika bertugas.

"Ia memerlukan kemahiran dan teknik untuk membanteras jenayah, menaiki bukit dan mengawal pergerakan basikal ketika sibuk mengejar penjenayah.

"Buat masa ini, penguat kuasa berbasikal mempunyai 20 anggota yang terdiri daripada 16 lelaki dan empat wanita termasuk seorang inspektor dan sarjan.

"Pemilihan staf dibuat mengikut kriteria ditentukan dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter agar bersesuaian dengan basikal yang disediakan, cergas, sihat, berumur sekitar 20-an dan berminat mengayuh basikal.

"Mereka ditempatkan di lima kawasan taman utama iaitu Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Perdana, Taman Metropolitan, Taman Pudu Ulu dan Taman Tasik Permaisuri," katanya.

Tugas sebagai penguat kuasa berbasikal mungkin tidak sepopular unit kawalan keselamatan lain tetapi mereka perlu dipuji kerana berusaha memastikan pengunjung dalam keadaan aman dan selamat di kawasan rehat terbabit.

Menurut Effandy, penguat kuasa berbasikal bertanggung jawab menghalang lalu lintas yang mengganggu pengunjung di taman untuk melakukan aktiviti riadah seperti berjoging dan bersenam.

"Ada kalanya ibu bapa terlepas pandang keselamatan anak mereka sewaktu melakukan aktiviti. Justeru, penguat kuasa berbasikal memantau pengunjung di taman terbabit kerana tidak mahu berlaku perkara tidak diingini.

"Pernah terjadi apabila penguat kuasa berbasikal mengejar pencuri di Taman Metropolitan. Meskipun pencuri gagal ditangkap, kami berusaha memberikan rawatan kepada mangsa.

"Setiap basikal dilengkapi kit perubatan agar dapat memberikan pertolongan ringan segera kepada mangsa.

"Malah, penguat kuasa dilengkapi ilmu perubatan kerana menerima latihan daripada pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Skop tanggungjawab yang kecil dilihat seperti agak terbatas tetapi penguat kuasa berbasikal berada di barisan hadapan yang bertindak sebagai penyalur maklumat menerusi komunikasi radio dan walkie-talkie.

Justeru, jika berlaku kes serius seperti kematian, kemalangan dan kebakaran, penguat kuasa berbasikal akan terus berhubung dengan pihak hospital dan polis bagi menyelesaikan kes berkenaan.

"Papan tanda yang diletakkan di sekitar taman dengan jelas melarang penunggang motosikal membawa kenderaan mereka ke dalam kawasan taman.

"Pelbagai ragam boleh dilihat sama ada duduk bersantai di atas motosikal sambil berdua-duaan bersama pasangan dan meletak motosikal berdekatan tempat mereka berkelah.

"Mereka tidak mengendahkan undang-undang yang tertera dan masih melakukan perkara itu.

"Apabila penguat kuasa berbasikal datang, mereka segera beredar tetapi ia tetap berulang kerana penunggang motosikal yang lain juga mempunyai sikap yang sama," katanya.

Katanya, kehadiran penguat kuasa berbasikal DBKL berusaha mengelak kemudaratan yang boleh menimpa pengguna taman," kata Effandy.

Terdapat kes membabitkan pelajar sekolah menengah yang ditangkap berdua-duaan di tempat awam sambil melakukan perkara yang tidak senonoh.

Pasangan terbabit dibawa ke pejabat DBKL dan diberi kaunseling dan atas budi bicara mereka diserahkan kepada keluarga mereka, bukannya polis.

"Penguat kuasa berbasikal turut memantau penjaja tidak berlesen, kebersihan dan sekitar tapak perniagaan agar tidak menghalang laluan pelancong selain salah laku pengunjung terutama yang beragama Islam," katanya.

Keluarkan saman dan denda

Mungkin ada memandang rendah pada keupayaan penguat kuasa berbasikal namun tahukah anda, unit terbabit berhak menyaman mana-mana pengunjung yang melakukan kesalahan dalam kawasan taman.

Menurut Inspektor Unit Peronda Berbasikal DBKL, Nor Affendy Rosli, saman yang paling banyak dikeluarkan adalah kepada kenderaan yang diletakkan di tempat letak kenderaan orang cacat.

"Minda masyarakat kita masih tidak berubah malah masih ada yang berdegil kerana lebih mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesusahan yang dialami orang kurang upaya (OKU) jika tempat letak kenderaan untuk mereka diambil orang normal.

"Kesalahan lain masih boleh dipertimbangkan menerusi teguran secara baik sebelum diberi saman tetapi tiada kompromi bagi kes meletakkan kenderaan di tempat OKU sedangkan masih banyak kawasan letak kenderaan yang kosong.

"DBKL bukannya sengaja hendak menyaman pengunjung taman. Bukankah lebih seronok jika pengunjung beristirahat di taman dengan aman, selamat dan pulang dengan wajah yang ceria daripada pulang ke rumah bersama tiket saman di kereta," katanya.

Melihat kepada tanggungjawab dan tugas yang dikendalikan, ia tidak setara dengan jumlah tenaga kerja penguat kuasa berbasikal DBKL yang bekerja di lapangan pada masa kini iaitu seramai 18 orang.

Jika dilihat pada jadual kerja, tugas anggota penguat kuasa akan dikitar untuk tiga bulan sekali bagi menampung tenaga kerja untuk kelima-lima taman bermula dari Taman Tasik Titiwangsa, Taman Metropolitan, Taman Tasik Perdana, Taman Tasik Permaisuri dan Taman Pudu Ulu.

Penguasa Bahagian Trafik dan Tugas-Tugas Khas DBKL, Mohd Hisham Izhar berkata, buat masa ini penguat kuasa berbasikal ditugaskan hanya pada waktu pagi disebabkan kekangan tenaga kerja.

"Mereka bekerja secara berpasangan untuk setiap taman bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

"Namun menjelang 2016, kakitangan unit ini akan ditambah seramai 40 orang bagi meluaskan skop pemantauan, keselamatan dan bantuan yang diberikan kepada orang ramai.

"Penguat kuasa berbasikal turut serta mengiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengadakan aktiviti dan lawatan berbasikal di sekitar Kuala Lumpur. Malah, unit ini turut terbabit ketika Datuk Bandar London, Borris Johnson berbasikal bersama Ahmad Phesal sejauh kira-kira 100 meter ke galeri pameran Pusat Antarabangsa Setia (SIC), baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:05 AM