ANGGOTA bomba mengeluarkan jari mangsa yang tersepit di lubang kerusi. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba mengeluarkan jari mangsa yang tersepit di lubang kerusi. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


MURID perempuan terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit apabila jari telunjuk kiri tersepit pada lubang kerusi di sekolahnya di Manggatal, Kota Kinabalu, hari ini.

Nafiqa Abdullah, 7, berusaha mengeluarkan jarinya dengan dibantu guru dan ibu termasuk menggunakan minyak namun gagal.

Berikutan itu, pasukan bomba dipanggil bagi membantu mengeluarkan jari mangsa.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.50 tengah hari.

“Sebuah jentera dan EMRS dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian dan didapati jari telunjuk kiri murid perempuan tersepit pada lubang kerusi plastik di makmal sekolah.

“Susulan itu, pasukan bomba menggunakan gergaji besi dan playar. Ketika itu mangsa menangis kesakitan namun berjaya ditenangkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jari mangsa berjaya dikeluarkan dan seterusnya diberi rawatan awal anggota EMRS.

“Mangsa dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 9:40 PM