PEMASANGAN tanglung dan hiasan sempena Tahun Baru Cina di SMK Pusat Bandar Puchong 1, yang menimbulkan kontroversi. (Gambar kecil) Ismadi. FOTO Saifullizan Tamadi.
PEMASANGAN tanglung dan hiasan sempena Tahun Baru Cina di SMK Pusat Bandar Puchong 1, yang menimbulkan kontroversi. (Gambar kecil) Ismadi. FOTO Saifullizan Tamadi.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS akan melakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan pihaknya yang dikatakan menasihatkan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Serdang supaya menurunkan pemasangan hiasan yang dianggap keterlaluan bagi sambutan Tahun Baru Cina.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, tindakan lanjut berhubung perkara itu akan diputuskan sebaik hasil siasatan diperoleh.

“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan itu. Jika betul berlaku, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada pihak berkenaan.

“Ini kerana tindakan itu mengakibatkan kegusaran orang ramai berhubung isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

Ismadi berkata, pihaknya menerima dua laporan polis dibuat orang awam berhubung perkara itu, semalam.

“Berdasarkan laporan itu, kami membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk siasatan lanjut.

“Malah, beberapa individu termasuk Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selain pihak sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dirakam keterangan, hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan terbabit akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat sebaik sahaja ia lengkap untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya minta kerjasama daripada orang awam supaya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan pihaknya sudah mendapat penjelasan lanjut berhubung pemasangan hiasan yang dianggap keterlaluan bagi sambutan Tahun Baru Cina sekolah berkenaan seperti tular di laman sosial, beberapa hari lalu.

Dalam kenyataan itu, kementerian memaklumkan hiasan itu sempena Tahun Baru Cina selain sekolah berkenaan dipilih sebagai tuan rumah Pertandingan Kaligrafi Cina Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap penulis satu surat yang dilaporkan mengkritik hiasan sekolah berkenaan.

Beliau memaklumkan tindakan mengarahkan siasatan itu dilakukan kerana didapati terdapat unsur ugutan dan menghasut di dalam surat berkenaan.

Berita berkaitan

'Pasang tanglung bukan isu perkauman [METROTV]'

'Kementerian Pendidikan puas hati dengan penjelasan sekolah'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 8:05 PM