MAYAT bayi yang ditemui dibuang dalam tong sampah.
MAYAT bayi yang ditemui dibuang dalam tong sampah.
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT bayi perempuan baru dilahirkan ditemui dalam tong sampah di sebuah pangsapuri di Bukit Serdang, Seri Kembangan, Serdang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat bayi jam 4.30 pagi.

“Siasatan lanjut mendapati, bayi perempuan itu dipercayai baru dilahirkan kerana mempunyai tali pusat dan uri, namun disahkan sudah meninggal dunia ketika ditemui.

“Kami turut menemui kain berwarna hitam dan pakaian dalam wanita berhampiran mayat bayi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, ketika ditemui, bayi itu dibalut kain hitam dan ditinggalkan dalam tong sampah di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.

“Mayat bayi ini kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini giat dijalankan termasuk mendapatkan maklumat di lokasi sekitar,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Orang ramai mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 11:38 AM