ARISSA Umairah Abdullah ingin menemui ibu kandungnya yang hanya dikenali sebagai Susila selepas diserahkan kepada Suriati lima tahun lalu. FOTO Adnan Ibrahim
ARISSA Umairah Abdullah ingin menemui ibu kandungnya yang hanya dikenali sebagai Susila selepas diserahkan kepada Suriati lima tahun lalu. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


“SILA tampil supaya masa depan Arissa terjamin,” kata ibu tunggal, Suriati Ajeh, 41, merayu ibu kandung kepada anak angkat yang dibela sejak lima tahun lalu.

Ini kerana kanak-kanak yang diberi nama Arissa Umairah Abdullah itu tidak mempunyai dokumen diri sekali gus menimbulkan kesukaran untuk menjalani kehidupan sebagai warganegara.

Menurut Suriati, seorang wanita berusia lingkungan 30 tahun menyerahkan Arissa di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 12 November 2014 sebaik dilahirkan.

Katanya, bayi yang dilahirkan pada 10 November 2014 itu diserahkan oleh ibunya dipercayai berasal dari negeri pantai timur yang dikenali sebagai Susila.

Suriati berkata, Susila ketika itu bekerja di sebuah kedai makan di Permas Jaya, di Johor Bahru memberikan alasan mahu pulang ke kampung bagi menyelesaikan urusan keluarga dan akan mengambil semula anaknya apabila selesai urusan itu.

“Kini Arissa sudah berusia lima tahun namun ibunya tidak pernah muncul seperti dijanjikan walaupun usaha mencarinya mengikut alamat yang diberikan tidak berhasil.

“Malah nombor telefon yang diberikan ketika menyerahkan bayinya itu juga tidak dapat dihubungi kira-kira sebulan selepas dia balik ke kampung,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Suriati, akibat tiada sebarang dokumen berkaitan ibu dan bapa disertakan ketika penyerahan dilakukan, dia berhadapan kesukaran untuk membuat pendaftaran kelahiran sehingga menyebabkan kanak-kanak ini dikategorikan sebagai bukan warganegara.

“Pendaftaran hanya berpandukan buku laporan ibu mengandung serta pengesahan kelahiran oleh pihak hospital manakala ketika penyerahan bayi tiada sebarang dokumen yang diberikan oleh wanita berkenaan menyebabkan saya berhadapan kesukaran untuk menguruskan hal berkaitan dokumen peribadinya.

“Kini setiap hari Arissa bertanya siapakah ibu kandungnya dan menyatakan keinginan untuk bertemu kerana mahu bertemu melihat insan yang melahirkannya,” katanya.

Suriati berharap wanita berkenaan menghubunginya di talian 016-3306202 bagi membolehkan mereka bertemu demi masa hadapan Arissa.

“Sepanjang lima tahun menjaganya saya mampu untuk memberikan yang terbaik untuknya, namun kini masa untuk dia memulakan persekolahan dan yang paling penting untuk diselesaikan adalah dokumen dirinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 1:57 PM