Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: "Hanya Allah yang tahu perasaan saya sebaik melihat anak bongsu jatuh ke dalam air, mujur ada anggota bomba berhampiran tempat kejadian membantu menyelamatkan anak.

"Tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan anak jika tiada orang di lokasi kejadian," kata Suriati Yusof, 44, seorang daripada mangsa banjir dari Kampung Petaling di sini, hari ini.

Suriati berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1 petang hari ini, ketika dia bersama suami dan anak-anaknya sedang mengemas barang selepas diarahkan berpindah berikutan kediaman mereka dinaiki air kira-kira satu meter.

"Ketika itu, suami sedang menguruskan anak sulung yang juga orang kurang upaya (OKU) ke dalam bot sementara saya pula sedang mengemas.

"Dalam kekalutan mengemas itu, anak bongsu, Adib Arshad Abd Halim, 16 bulan, ditinggalkan di atas kerusi di bahagian ruang tamu bersama abang dan kakaknya.

"Bagaimanapun, Adib tergelincir sebelum saya segera bergegas untuk menyelamatkan anak.

"Anak berada di dalam air lebih 30 saat dan diselamatkan anggota bomba yang kebetulan berada di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong di sini, hari ini.

Suriati yang juga ibu kepada sembilan anak memaklumkan itu kali pertama kediamannya dinaiki air sejak menetap di kampung berkenaan kira-kira 40 tahun lalu.

PASUKAN penyelamat menurunkan bot untuk mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.
PASUKAN penyelamat menurunkan bot untuk mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Cherating, Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 5:17 PM