ADIK ipar bapa mangsa menunjukkan lokasi mangsa dipercayai jatuh di Kampung Patau-Patau 1, Labuan. FOTO ihsan Polis
ADIK ipar bapa mangsa menunjukkan lokasi mangsa dipercayai jatuh di Kampung Patau-Patau 1, Labuan. FOTO ihsan Polis
Norasikin Daineh


KANAK-KANAK lelaki lemas selepas terjatuh di laut di rumah neneknya di Kampung Patau-Patau 1, dekat Labuan, semalam.

Mangsa Muhamad Aidan Hakimi Mohd Reduan, 2, ditemui terapung oleh ahli keluarganya pada 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.58 petang.

“Laporan diterima daripada bapa mangsa berhubung kematian anaknya akibat terjatuh ke dalam laut di rumah neneknya.

“Mangsa ditinggalkan sementara di rumah neneknya kerana kedua ibu bapa mangsa pergi ke bandar untuk menyelesaikan beberapa urusan di bank,” katanya dalam kenyataan media, di Labuan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, bapa mangsa menyatakan anaknya itu dijaga oleh adik iparnya, 20.

“Adik iparnya tidak sedar bahawa mangsa bermain di beranda dan terjatuh ke dalam laut.

“Kejadian hanya disedari apabila seorang lagi adik ipar lelaki bapa mangsa yang baru sahaja pulang dari kerja melihat mangsa terapung di bawah rumah,” katanya.

Katanya lagi, mangsa cuba diselamatkan namun tidak berjaya sebelum dibawa ke Hospital Nukleus Labuan.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dibawa ke Unit Forensik untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 3:06 PM