GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh


TIDAK berpuas hati hanya berjaya menyamun RM20, seorang remaja bersama rakannya bertindak menumbuk muka mangsa bertubi-tubi sehingga cedera dalam kejadian berhampiran sebuah kedai runcit di Kampung Saguking, Labuan, Selasa lalu.

Bagaimanapun, tindakan itu membawa padah apabila remaja berusia 18 tahun akhirnya berjaya diberkas selepas laporan polis dibuat oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian 2.30 petang itu ketika mangsa berusia 20-an sedang berjalan ke sebuah kedai runcit untuk membeli rokok.

“Mangsa tiba-tiba didatangi dua lelaki tidak dikenali dari arah depan dan belakang sebelum meminta wang daripada mangsa.

“Mangsa kemudian menyerahkan RM20, namun suspek tidak berpuas hati dan suspek bertindak menumbuk muka mangsa bertubi-tubi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala.

“Mangsa luka di dahi kiri, berdarah di bahagian hidung, bengkak pada mata kiri serta calar di bahagian atas kepala.

“Mangsa kemudian mendapat rawatan di Hospital Labuan dan turut melaporkan kejadian itu kepada polis,” katanya.

Susulan kejadian itu, Muhamad Farid berkata, satu laporan polis dibuat oleh mangsa sebelum pihaknya berjaya menahan suspek.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku memukul dan mengambil wang daripada mangsa bersama rakan sejenayahnya yang masih bebas.

“Suspek juga mengaku menggunakan wang yang disamun untuk membeli minuman keras,” katanya.

Sehubungan itu, Muhamad Farid berkata, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 9:24 AM