ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran di salah satu lot bangunan syarikat minyak dan gas di Saguking Warehouse, Jalan Patau-Patau, Labuan. FOTO Bernama
ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran di salah satu lot bangunan syarikat minyak dan gas di Saguking Warehouse, Jalan Patau-Patau, Labuan. FOTO Bernama
Norasikin Daineh


LELAKI melecur di tangan selepas salah satu lot bangunan syarikat minyak dan gas tempatnya bekerja terbakar dalam kejadian di Saguking Warehouse, Jalan Patau-Patau, Labuan, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang, mangsa berusia 31 tahun itu diselamatkan bersama empat wanita lain yang dipercayai menyewa di sebelah lot bangunan terbakar itu.

Difahamkan, lelaki itu cedera apabila api terkena tangannya ketika dia cuba memadamkan kebakaran menyebabkan dia dihantar ke Hospital Nukleus Labuan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Jainal@Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.07 petang dan seramai 33 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Laporan diterima Pusat Gerakan Operasi (PGO) daripada anak kepada pemilik premis menyatakan terdapat kebakaran di bangunan premis mereka.

“Difahamkan, pada awalnya kebakaran itu berjaya dipadam oleh pekerja, namun tiba-tiba asap tebal menyebabkan mereka semakin sukar memadamkannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jainal berkata, hasil pemantauan, empat wanita berusia 20-an yang tinggal menyewa bersebelahan lot terbakar di tingkat satu bangunan itu terperangkap.

Beliau berkata, kerja menyelamatkan semua mangsa segera dilakukan sebelum operasi memadamkan api dimulakan.

“Asap tebal kelihatan keluar dari lot bangunan itu disebabkan terdapat bahan disimpan dalam premis itu diperbuat daripada getah, tabung alat pemadam api jenis karbon dioksida dan ABC Powder serta Pryrotechnic.

“Operasi ditamatkan pada 5.48 petang namun premis itu terbakar 100 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 12:14 AM