KEADAAN rumah uzur dan mangsa dipercayai terjatuh ke dalam air menerusi dinding yang rosak. FOTO ihsan polis.
KEADAAN rumah uzur dan mangsa dipercayai terjatuh ke dalam air menerusi dinding yang rosak. FOTO ihsan polis.
Norasikin Daineh


BAYI perempuan berusia 20 bulan ditemui lemas selepas terjatuh dari rumahnya di perkampungan atas air di Kampung Sebor Baru, Labuan, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa, Nor Saidah Abdul Said, dipercayai terjatuh ke dalam air melalui celah dinding rumahnya yang rosak.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas keluarga bayi itu selesai makan malam dan bayi itu dipercayai merangkak sebelum terjatuh melalui dinding rumah.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, laporan polis berhubung kejadian itu diterima daripada Unit Kecemasan Hospital Nukleus Labuan pada 12.02 tengah malam.

PENDUDUK menunjukkan lokasi mangsa dipercayai jatuh ke dalam air. FOTO ihsan polis.
PENDUDUK menunjukkan lokasi mangsa dipercayai jatuh ke dalam air. FOTO ihsan polis.

“Polis dimaklumkan bayi terbabit disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas oleh pegawai perubatan.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati bayi itu dipercayai terjatuh ke dalam air melalui celah dinding papan rumah diperbuat daripada papan lapis di bilik tidur.

“Keadaan rumah berkenaan sudah uzur dan dindingnya mudah ditolak kerana tidak berpaku,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, punca kematian bayi itu dipercayai akibat lemas iaitu paru-paru bayi dimasuki air dan mengganggu sistem pernafasannya.

Sementara itu, mengulas perkembangan penemuan janin di loji rawatan kumbahan di Taman Mahkota Impian, Isnin lalu, seorang wanita dan teman lelakinya berusia 26 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan, semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

“Wanita itu sebelum ini didapati mengalami pendarahan di penginapan rumah sewanya dan kemudian dihantar teman lelakinya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

“Mereka dipercayai menjalinkan hubungan kira-kira tiga tahun dan menetap di kawasan perumahan Taman Mahkota Impian dengan menyewa bilik secara persendirian sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terhadap suspek lelaki sudah selesai dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 5.30 petang semalam.

Menurutnya, suspek wanita masih ditahan untuk siasatan lanjut dan permohonan untuk reman dilakukan selama tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, bedah siasat terhadap janin itu sudah selesai dan didapati ia adalah janin perempuan berusia enam hingga tujuh bulan selain didapati sebagai kelahiran tidak cukup bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:44 PM