Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kejadian di Kampung Air Patau-Patau Dua malam tadi. FOTO BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kejadian di Kampung Air Patau-Patau Dua malam tadi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Tindakan pantas dan kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan lebih 100 rumah kayu di Kampung Air Patau-Patau 2 daripada dijilat api, malam tadi.

Pengarah JBPM Labuan Abdul Rahman Ali berkata, dalam kebakaran yang berlaku pada 10 malam di kawasan berkepadatan tinggi itu, semua mangsa berjaya diselamatkan dan hanya seorang penduduk berusia 39 tahun cedera ringan di tangan.

"Sejurus menerima panggilan kecemasan, pasukan bomba segera ke tempat kejadian dengan mengerahkan 37 anggota dan tiba beberapa minit kemudian. "Dalam kebakaran itu, hanya sebuah rumah musnah terbakar, manakala dua rumah berdekatan hanya sebahagian yang rosak," katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurutnya, walaupun jarak antara rumah amat dekat, anggota bomba berjaya mengawal api menggunakan air laut, air tangki dan alat pemadam kebakaran bagi memastikan kerosakan minimum pada struktur berhampiran.

Katanya, setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman yang turut berada di lokasi kejadian berkata, dedikasi dan profesionalisme anggota bomba yang bertungkus lumus mengawal kebakaran mendapat pujian masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 1:27 PM