GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh


LELAKI maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Tanjung Purun, Labuan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun meninggal di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha yang ditunggang seorang lelaki.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah bandar menghala ke Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Membidai.

“Motosikal yang ditunggang mangsa, dipercayai hilang kawalan selepas melalui sebuah selekoh dan terbabas ke kanan jalan sebelum terlanggar pokok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Farid berkata, pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia serta-merta.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan di bawa ke Hospital Nukleus Labuan untuk di bedah siasat.

“Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan di bawa ke balai polis untuk tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 7:09 PM